BINTANGOR, 9 Nov : Laluan utama ke pekan Pakan di sini terputus ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran Simpang Genting Kopi pada malam Isnin lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, runtuhan tanah bukit itu dianggarkan setinggi satu meter serta sepanjang 10 meter telah menutupi laluan berkenaan.
Ujar beliau, kejadian pada pukul 8.50 malam itu dipercayai akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan struktur tanah menjadi lembab.
” Sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi pada pukul 9.03 malam selepas menerima panggilan kecemasan,” katanya.
Menurut Nicholas, kejadian tanah runtuh itu pernah berlaku beberapa tahun lepas namun ia hanya pada skala kecil sahaja.
“Lokasi kejadian terletak kira-kira 90 meter dari Simpang Tubai Buah, Pakan dan saya menasihatkan orang ramai yang melalui kawasan berbukit perlu sentiasa berhati-hati lebih -lebih lagi semasa hari hujan ,” katanya.
Tambah beliau, Â tiada sebarang operasi dilakukan dan Bomba hanya melakukan pemantauan untuk memastikan keselamatan penduduk setempat.
Pada masa yang sama katanya, Rumah Panjang Jantan yang terletak di atas bukit berhampiran lokasi kejadian tidak terjejas ekoran kejadian itu. -TVS