KUCHING, 8 Nov : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 112 calon yang mewakili pelbagai parti diterima sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke -15.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kesemua calon itu tampil mengemukakan borang di 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri hari ini sebelum tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi.
” Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mengemukakan 28 calon manakala Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (PUTRA) bertanding di lima kerusi serta Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) bertanding di satu kawasan dan 22 orang calon bebas turut terlibat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Abdul Ghani berkata , tiga DUN akan menyaksikan pertandingan enam penjuru manakala lima kerusi melibatkan pertandingan lima penjuru.
” Selain itu 11 DUN menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan sembilan DUN terlibat pula melibatkan pertandingan empat penjuru,” katanya.
Data juga menunjukkan seramai 96 calon lelaki dan 16 wanita ditampilkan kali ini dengan yang paling muda berusia 21 tahun di DUN Sungai Rambai dan calon paling tua berusia 68 tahun bertanding di Pengkalan Batu.
Sementara itu, Abdul Ghani memberitahu, bagi mematuhi penjakan fizikal, pihaknya melarang ceramah, aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah pengundi dan aktiviti walkabout.
” Calon disarankan berkempen menggunakan medium dalam talian atau media massa namun boleh berkempen melalui kenderaan yang dipasang alat pembesar suara pada waktu yang ditetapkan dengan perlu mendapat permit,” katanya. – TVS