BAU, 7 Nov : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengeluarkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) berbeza kepada kerajaan atau pembangkang untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
Sehubungan itu, Naib Presiden, Parti Pusaka Bumiputera Bersatu, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan akur dan mematuhi apa sahaja peraturan ditetapkan kelak.
” Saya percaya tidak ada dua jenis SOP iaitu satu untuk wakil parti kerajaan dan satu untuk pembangkang. Apa yang ditetapkan untuk GPS, itulah juga yang harus dipatuhi mereka (pembangkang),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Flagg Off Sarawak Adventure Challenge 5.0 di Pasar Siniawan, Bau di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Sarawak , Chong Chieng Jen berkata, pembangkang berisiko untuk ‘tersingkir’ pada PRN kali ini memandangkan kerajaan sementara iaitu GPS akan mempunyai kelebihan menjalankan pilihan raya tanpa kempen.
Mengulas soal kemungkinan SOP yang akan diperkenalkan, Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, GPS akan berusaha untuk mendekati rakyat tanpa melanggar peraturan yang diumumkan kelak.
” Kami (GPS) juga tidak dapat ruang untuk berkempen dan sekarang sedang memikirkan cara untuk berhubung dengan pengundi dalam kawasan masing-masing,” katanya.
Secara sinis, beliau menasihatkan Cheing Jen supaya bijak mencari jalan bagaimana untuk menghubungi rakyat atau berkempen dalam kawasan mereka pada PRN ini. – TVS