KUCHING, 7 Nov : Sarawak United FC (SU FC) layak ke suku akhir Piala Malaysia 2021 selepas menundukkan Sri Pahang FC 2-1 dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.
Tuan rumah yang dibimbing Dollah Salleh memberi amaran awal apabila mendominasi perlawanan separuh masa pertama dengan serangan bertali arus yang membuahkan hasil menerusi jaringan Kenny Athiu pada minit ke -14.
Begitupun, SUFC mula mengimbangi perlawanan memasuki 15 minit terakhir apabila Sandro Da Silva berjaya menjaringkan gol pada minit ke-31 untuk menyamakan kedudukan.
Ketika perlawanan dilihat akan berkesudahan dengan keputusan seri, Rahim Razak muncul wira SU FC pabila menjaringkan gol pada masa kecederaan sekaligus memberikan tiga mata berharga kepada pasukannya.
Ini menjadikan kutipan mata Skuad Kenyalang Emas mencecah 10 dan tidak mampu dipintas lagi oleh Sri Pahang (enam mata) dan Pulau Pinang FC (satu mata) biarpun masih berbaki satu perlawanan.
Ketua Jurulatih SUFC, E. Elavarasan memuji persembahan cemerlang ditampilkan anak buahnya yang berjaya menundukkan Tok Gajah di gelanggang lawan sekaligus merebut slot suku akhir kumpulan A bersama – sama Kuala Lumpur City (KL City).
” Perlawanan ini terlalu sengit dan saya sudah ingatkan permain tentangan yang bakal mereka hadapi. Kita bernasib baik kerana dapat menjaringkan gol pada separuh masa pertama meskipun tuan rumah dilihat lebih menguasai permainan,” katanya.
Bakal mengharungi perlawanan terakhir menentang Pulau Pinang FC , SU FC berpeluang muncul juara kumpulan A sekiranya menang namun dengan syarat Sri Pahang FC turut menewaskan skuad ibu kota. – TVS