KUCHING, 7 Nov : Menyedari potensi besar ekonomi digital, Kerajaan Sarawak sejak empat tahun lalu telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memacu pertumbuhan sektor berkenaan bagi memberi manfaat terutamanya kepada golongan belia.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Abdul Karim Hamzah berkata, tekad ini dapat dilihat menerusi perlancaran Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018 -2022.
Ujarnya, inisiatif berkenaan antara lain menyaksikan kerajaan negeri bekerjasama dengan sektor swasta untuk meningkatkan guna tenaga kerja di kalangan belia selain membangunkan sektor ekonomi digital untuk kemakmuran rakyat Sarawak.
“Kerajaan mengambil maklum bahawa kaedah digital ini mungkin agak sukar dimanfaatkan sepenuhnya oleh belia di luar bandar.
” Oleh itu, kerajaan mengalukan inisiatif pihak lain yang boleh membantu belia luar bandar meningkatkan potensi mereka mengikut keperluan setempat tanpa perlu berhijrah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara dan Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Sarawak semalam.
Teks ucapan Abdul Karim dibacakan oleh Menteri Muda dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Lamat Nyalau.
Pada masa sama, Abdul Karim menjelaskan, kerajaan juga komited untuk mencipta peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal dan ekonomi digital dilihat sebagai satu satu cabang yang boleh diterokai.
“Belia perlu mengambil peluang mendalami bidang yang berkaitan dengan ekonomi digital secara aktif terutamanya di peringkat antarabangsa sebagai pekerja terlatih dan pakar,” katanya.
Abdul Karim yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, beliau ingin melihat kumpulan belia di Sarawak menjadi peneraju dalam ekonomi digital negara. TVS