Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Buang undi lebih selamat berbanding makan di restoran – Dr. Annuar Rapaee

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 7 Nov: Proses membuang undi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak akan datang lebih selamat berbanding menjamu selera di kedai makan.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr. Annuar Rapaee berkata, ini kerana terdapat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat akan dikuatkuasakan di semua pusat mengundi.

Jelasnya sebagai contoh, di pusat mengundi, hanya seorang sahaja dibenarkan masuk ke laluan disediakan pada satu – satu masa selain amalan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

” Keadaan ini berbeza dengan situasi di restoran apabila orang ramai akan menanggalkan pelitup muka untuk makan dan minum. Oleh itu, risiko penularan lebih tinggi jika tempat itu sesak dengan orang ramai,” katanya.

Dr. Annuar yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu berkata demikian ketika berkongsi pandangan tentang situasi kesihatan semasa dan PRN Sarawak akan datang menerusi siaran langsung Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Nangka berkata, pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan (KKM)  dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula sudah pasti sangat peka tentang situasi semasa dan akan menetapkan SOP yang sesuai.

Menyentuh mengenai pemberian dos penggalak pula, Dr. Annuar berkata, mereka yang memenuhi kriteria tertentu boleh hadir ke Stadium Tertutup Sibu untuk menerima dos tersebut.

“Pada masa ini, suntikan diberikan kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas, petugas barisan hadapan dan individu yang mempunyai komorbiditi. Penerima Sinovac akan diberikan dos penggalak Pfizer tiga bulan selepas dos kedua mereka,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh menyemak status janji temu vaksinasi mereka melalui aplikasi MySejahtera.

” Bagaimanapun mereka yang memenuhi kriteria tetapi tidak menerima notifikasi boleh terus hadir ke stadium untuk menerima suntikan,”katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan