KUCHING, 6 Nov: Beberapa peralatan milik bot yang dilaporkan hilang bersama lima orang pemancing telah ditemukan kira-kira 24 batu Nautika dari santubong, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan peralatan tersebut di Balai Polis Santubong sekitar jam 7.18 pagi.
“Laporan dibuat oleh pemilik bot pada 5 November jam 7.18 pagi mengenai penemuan peralatan bot iaitu stereng, alat kawalan gear, tiang antena radio,” kata Ahsmon.
“Peralatan tersebut ditemukan oleh nelayan ketika menangkap ikan menggunakan pukat tunda,”katanya.
Susulan penemuan tersebut juga, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Pengawal Pantai Sarawak (SCG) telah melakukan pencarian di kawasan tersebut hari ini.
“Peralatan tersebut ditemui oleh nelayan dan pemilik bot mengesahkan peralatan tersebut adalah daripada bot yang hilang,” jelas Ahsmon.
Bagaimanapun, tiada penemuan terbaharu dilaporkan.
Bot tersebut yang membawa lima pemancing dilaporkan hilang sejak 3 Oktober lalu.
Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dilancarkan selepas itu meliputi kawasan pencarian seluas 5,822 kilometer persegi.
Kawasan pencarian adalah di sekitar perairan Besi Buruk, Tanjung Sipang, Karang Berumput, Tukun Bass, Pulau Lakei, Pulau Satang, Pulau Sampadi dan Batu Mandi.
Operasi carilamat turut dilakukan di kawasan Tanjung Sipang ke Pulau Satang dan Dari Tanjung Sipang ke Tanjung Po.