Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Jalan raya, jambatan, sambungan elektrik dan perpustakaan diusahakan di Daro

ByAkma Salleh

DARO, 6 Nov : Kerajaan Sarawak komited untuk terus memacu pembangunan di Daro menerusi pelaksanaan pelbagai pakej projek kesejahteraan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, berkata selepas Masjid Al-Muhsinin Daerah Daro bernilai RM9.5 juta siap dan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam, pembinaan Jambatan Batang Lassa juga sedang giat dijalankan.

“Pembangunan yang kian rancak ini akan diteruskan untuk manfaat rakyat di Daro,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini semalam.

Katanya, antara projek pembangunan yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan tiga jalan utama iaitu Jalan Sibu ke Tanjong Manis, dan seterusnya ke Ilas dan Sebenak yang bernilai RM65 juta.

“Selain itu, terdapat juga projek pembinaan jalan dari Jemoreng ke Pasin sepanjang 17.5 kilometer (km) yang juga bernilai RM65 juta, selain jalan dari Penasu ke Nanga Semah sepanjang 10.5 km bernilai RM42 juta,” kata Safiee.

Menurutnya, kesemua projek yang dinyatakan telah dirancang pada 2018 dan kini sedang dalam fasa pelaksanaan sekaligus membuktikan Kerajaan Negeri menunaikan janji.

“Semuanya telah diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dan mewakili rakyat di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran Kerajaan Negeri kerana memahami keperluan rakyat,” katanya.

Berhubung isu bekalan elektrik di situ pula, Safiee berkata, masalah itu dijangka selesai apabila Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mula dilaksanakan.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak juga tidak berdiam diri atau hanya menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan semata-mata apabila ia mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi memastikan penduduk mendapat bekalan elektrik di kawasan mereka.

“Sebenarnya, Ketua Menteri juga telah meluluskan dua projek iaitu yang pertama berjumlah RM14.9 juta, dan satu lagi projek sambungan elektrik ke Pasin yang bernilai RM6.8 juta untuk memastikan penduduk kawasan sekitar menerima kemudahan berkenaan,” katanya.

Selain itu, kata Safiee, turut diluluskan adalah pembinaan sebuah perpustakaan untuk keperluan pelajar bagi mendapatkan akses pendidikan yang lebih baik. – TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan