Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ambil kira pandangan, peranan rakyat dalam laksana projek pembangunan - Awang Tengah

Ambil kira pandangan, peranan rakyat dalam melaksana projek pembangunan – Awang Tengah

LAWAS, 6 Nov: Pendekatan ‘local knowledge’ atau mengambil kira pandangan dan peranan penduduk tempatan adalah aspek asas yang penting dalam usaha melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata maklumat daripada rakyat sangat penting untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan kerajaan negeri dapat memenuhi keperluan dan menyelesaikan masalah rakyat selain mengelak projek daripada tergendala disebabkan oleh masalah kekurangan maklumat.

Justeru itu, katanya, dalam merancang pembangunan, agensi dan perunding projek perlu berjumpa dengan rakyat terbabit bagi mendapatkan maklumat terperinci selain melibatkan peranan penduduk tempatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

“Misalnya bagi projek bekalan air di kawasan kampung, perunding buat perancangan tanpa mendapatkan maklumat orang tempatan tentang di mana sumber airnya, adakah sumber air itu cukup ketika musim kemarau dan lain-lain.

“Ini penting. Mereka telah menetap lama di kawasan itu, mereka tahu apa yang sesuai untuk mereka. Disebabkan kelemahan ini, projek terpaksa disemak semula dan projek tidak dapat dimulakan mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Awang Tengah yang mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Ba’Kelalan bermula 1 Nov lepas antara lain menghadiri sesi taklimat dengan pelbagai agensi berkaitan bersama ketua kaum dan penduduk tempatan, antaranya di Long Semadoh dan Long Sukang.

Lawatan kerja itu turut disertai Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong merangkap Ahli Parlimen Lawas, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Abdul Rahman Ismail serta ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Mengulas mengenai lawatan berkenaan, Awang Tengah berkata program itu memberi peluang kepada rakyat dan Kerajaan Sarawak bersama agensinya untuk berkomunikasi dan bertukar pendapat mengenai masalah dan keperluan penduduk setempat.

Selain itu, katanya, lawatan kerja itu dapat menerangkan kepada rakyat mengenai usaha dan bantuan yang telah dilaksanakan dan disediakan oleh Kerajaan Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. – Bernama

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan