SIBU, 5 Nov – Pengusaha bas di negeri ini menarik nafas lega susulan notis membenarkan mereka menjalankan operasi dengan kapasiti 100 peratus bermula hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) semalam mengumumkan bahawa syarikat bas bas ekspres dan bas henti-henti dibenarkan membawa kapasiti penumpang sepenuhnya berikutan cadangan Kementerian Pengangkutan.
Bagaimanapun, pengusaha bas dan penumpang mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan JPBN yang merangkumi pemakaian pelitup muka, pengimbasan suhu badan dan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera.
Penasihat Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak, Lau Khing Seng berkata, kelonggaran sekatan itu akan membolehkan pengusaha bas mengucap selamat tinggal kepada tempoh sukar, walaupun memakan masa sedikit untuk perniagaan kembali stabil.
“Sebelum pengumuman ini semalam, kami telah beroperasi pada kapasiti 50 peratus sahaja. Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kami beroperasi kurang daripada itu menyebabkan penumpang hampir tiada menggunakan perkhidmatan bas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
“Malah, sebelum ini, penumpang memerlukan permit polis sebelum dibenarkan menaiki bas untuk perjalanan antara daerah,” keluhnya.
Beliau meramalkan bahawa walaupun mereka kini dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh, muatan penumpang dijangka meningkat perlahan-lahan daripada 60 hingga 70 peratus.
“Penumpang hanya akan menggunakan perkhidmatan bas untuk perjalanan antara daerah atas sebab tertentu kerana ketika ini bukan masa untuk melancong, ditambah dengan orang ramai masih takut dengan pandemik Covid-19,” tegasnya.