KUCHING, 5 Nov : Parti Demokratik Progresif (PDP) akan terus mempertahankan kerusi penyandang pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 kelak.
Naib Presiden PDP, Dato Henry Harry Jinep, berkata sebagai wakil rakyat, pihaknya sentiasa bersedia dan tidak pernah sambil lewa dalam melaksanakan tugas masing-masing.
“Hasil daripada Mesyuarat Majlis Tertinggi yang lepas, setakat ini, PDP hanya ada tiga wakil sahaja, iaitu sama seperti semasa pilihan raya yang lepas, dan saya difahamkan melalui mesyuarat tersebut bahawa ketiga-tiga calon akan mempertahankan kerusi masing-masing. Begitulah keputusan yang kita telah buat,” katanya.
Sebagai salah sebuah parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), katanya, setiap calon akan terus menjaga kawasan masing-masing untuk memastikan kemenangan GPS menjelang PRN12 nanti.
“Kita dari PDP dan penyokong GPS, kita teruskan usaha kita untuk turun padang. Kita tak boleh duduk sambil lewa, kita terus berusaha menjaga kawasan masing-masing untuk memastikan kemenangan kepada GPS.
“Itu yang amat penting dan itu yang kita harus jaga. Kita pastikan GPS terus menerajui negeri Sarawak untuk membawa pembangunan, kemajuan dan menjaga rakyat Sarawak,” kata Jinep ketika dihubungi TVS pada Jumaat. – TVS