KUCHING, 5 NOVEMBER: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengenal pasti kesemua calon dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) nanti.
Menurutnya, agihan kerusi antara empat parti komponen GPS yang akan bertanding pada PRN12 sudah dibincangkan.
Beliau bagaimanapun menegaskan perkara tersebut hanya akan diumumkan apabila tiba waktunya nanti.
“Semua kami (pemimpin parti komponen) ada di sini … tunggu.
“Pembubaran baru sahaja diumumkan, nantilah. Jangan terburu-buru,”katanya pada sidang media khas di Wisma Bapa di sini, hari ini.
Tambah Abang Johari, kerajaan GPS kini hanya bertindak sebagai kerajaan sementara.
“Sebagai kerajaan sementara sebarang keputusan utama tidak boleh dibuat,” jelasnya.