Inilah bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di mana pengesahan rasmi mengenai pembubarannya dilakukan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pagi tadi.
Tumpuan kini terarah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijangka akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat untuk menentukan tarikh pengundian, hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ketika ini menjadi Kerajaan Sementara terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dijangka akan berdepan saingan dua blok utama iaitu Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP , PKR dan PAN manakala satu lagi parti pembangkang ialah Parti Sarawak Bersatu (PSB) selain calon-calon bebas.
Di kalangan pemerhati politik, masing-masing meramalkan GPS tidak berdepan masalah untuk mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri memandangkan pembangkang khususnya DAP hanya ‘bernafas’ di beberapa kerusi di kawasan bandar manakala PKR juga tidak berjaya meluaskan pengaruh mereka ke keseluruhan negeri.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga menyuarakan hasrat untuk bertanding dalam PRN -12 namun berdepan suasana tidak pasti apabila GPS menegaskan mereka tidak akan menyerahkan kerusi kepada pihak lain dan akan meletakkan calon di semua DUN.
Pada PRN 2016, PKR dan DAP turut bertarung sesama sendiri di enam kerusi DUN selepas gagal mencapai konsensus.
Sarawak menjadi negeri ketiga yang akan mengadakan PRN selepas Sabah dan Melaka pasca Pilihan Raya Umum (PRU-14).
Ikut TVS dan semua saluran media sosial kami untuk perkembangan terkini PRN Sarawak ke-12. #sarawakdecides