Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan dibentang untuk diselaraskan dengan Perjanjian Malaysia 1963

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Kerajaan semalam membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama dalam Dewan Rakyat antaranya untuk memperjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia, yang terdiri daripada negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

RUU yang bertujuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut RUU itu, pindaan dicadangkan kepada Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan Fasal (2) kepada “Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak”.

Pindaan juga dicadangkan kepada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan takrifan Hari Malaysia dan menggantikan takrifan Persekutuan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Selain itu, RUU itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu “berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warga negara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam undang-undang Negeri sebagai ras asli bagi Negeri itu” serta memotong Fasal 7.

Wan Junaidi berkata bacaan kali kedua bagi RUU itu akan dibuat pada sesi Dewan Rakyat ini.

Sementara itu, Wan Junaidi dalam satu kenyataan memberitahu RUU itu menandakan permulaan lembaran baharu dalam sejarah negara dan langkah pertama dalam mengembalikan hak dan prinsip asas bagi penubuhan Persekutuan Malaysia.

“Selepas beberapa percubaan dan bertahun-tahun bekerja keras, ini sememangnya detik penting dalam sejarah Persekutuan Malaysia. Lebih-lebih lagi bagi rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata usaha itu tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan dan restu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – bernama

Tags: #bm, borneo, MA63

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan