KUCHING, 4 Nov : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang dijangka akan berlangsung dalam tempoh terdekat.
Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, wakil rakyat parti itu juga sebenarnya sentiasa turun padang dan telah melaksanakan kerja dengan baik untuk manfaat rakyat dan negeri.
Bagaimanapun ujar beliau, di sebalik ‘kesediaan’ itu, mereka juga masih menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian.
“Apabila Proklamasi Darurat ditamatkan maka Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik dan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh penamatan darurat digazetkan,” katanya.
Beliau berkata demikiann ketika ditemui di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.
Penamatan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan dibuat setelah Seri Paduka berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. -TVS