Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Liverpool terajui puncak kumpulan, layak ke peringkat kalah mati

LIVERPOOL, 4 Nov : Liga Juara-Juara Eropah semalam menyaksikan pertembungan di antara Liverpool dan Atletico Madrid dengan keputusan yang memihak kepada pasukan The Reds 2-0.

Kunjungan anak buah Diego Simeone ke Anfield mengimbau sejarah pertemuan lepas pada edisi 2020/2021 apabila mereka menang 3-2 pada peringkat 16 terakhir.

Namun kali ini mereka membawa misi tiga mata penuh apabila sekadar mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan selepas mereka merekodkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sebelum ini.

Manakala skuad kendalian Jurgen Klopp itu membawa rekod tanpa kalah dalam Kumpulan B apabila mereka mencatatkan tiga kemenangan awal pada perlawanan sebelum ini.

Perlawanan bermula garang apabila kedua-dua pasukan memulakan serangan sebaik sahaja wisel ditiup.

Penyerang sensasi Liverpool, Sadio Mane, mengucar-kacirkan pertahanan lawan namun pertahanan Atletico menyerap sebaik mungkin.

Gawang pelawat bolos pada minit ke-13 apabila hantaran silang Trent Alexander Arnold ditanduk kemas oleh Diego Jota untuk memberikan Liverpool gol pembukaan awal.

Tidak sampai tujuh minit kemudian, Liverpool melebarkan kelebihan daripada hasil hantaran cantik Arnold, yang disudahkan oleh Mane pada minit ke-21.

Keadaan bertambah buruk bagi Atletico Madrid apabila terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Felipe dilayangkan kad merah akibat menerjah pemain tuan rumah.

Memasuki babak kedua, kubu Liverpool diuji lagi namun Alisson Becker cemerlang menjaga gawang Liverpool.

Kedua-dua pasukan terus memburu gol namun kelebihan dua gol Liverpool tidak mampu diatasi Atletico Madrid hingga ke akhir perlawanan.

Liverpool, Juventus, Bayern Munich dan Ajax merupakan 4 pasukan pertama yang melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Hanya Liverpool sahaja berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di Eropah dan dalam liga pada musim ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan