Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Yang di-Pertuan Agong perkenan penamatan Proklamasi Darurat di Sarawak

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 3 Nov: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan penamatan Proklamasi Darurat bagi Sarawak.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini memaklumkan Seri Paduka semalam berkenan menerima menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah menyampaikan hasrat dan permohonan Kerajaan Sarawak agar Proklamasi Darurat di negeri itu ditamatkan.

Susulan itu, ujarnya, pada hari ini, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah nasihat daripada Perdana Menteri berhubung perkara yang sama.

Semalam Peguam Negara Tan Sri Idrus Azizan Harun turut menyembah taklimat perkara berkenaan.

“Setelah menimbang permohonan Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan,” beliau menyebut menerusi kenyataan media pada hari ini.

Azuan Effendy berkata perkenan itu selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan namun ia perlu dijelaskan bahawa, berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Namun demikian, pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan jangkitan COVID-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

” Ini kerana pada hemat Seri Paduka, penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit namun diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” katanya.

Azuan Effendy menambah, Seri Paduka menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat perlu diutamakan, dan ia mesti sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi mahupun politik. – TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan