KUALA LUMPUR, 3 Nov: Warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan agar tidak mengulangi perbuatan jenayah seperti mana yang berlaku ke atas Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menyifatkan perbuatan ke atas Zulfarhan sebagai keji.
“Kematian Allahyarham Zulfarhan (Osman) empat tahun lalu amat mendukacitakan. Sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya telah arah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) gantung segera 32 pegawai kadet serta nilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di ALK.
“Saya juga jamin tiada siapa akan dilindungi dan terlepas daripada undang-undang,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya pada pagi ini.
Beliau berkata UPNM dan ATM perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada hukuman penjara yang dikenakan ke atas enam penuntut universiti itu kerana menyebabkan kecederaan tanpa niat sehingga membunuh Zulfarhan.
“Saya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal jenayah dan kezaliman,’’ tambah Hishammuddin.
Semalam, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun ke atas enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan empat tahun lepas.
Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam Bilik 03-05, Blok Penginapan Asrama Jebat di universiti berkenaan di Kem Perdana, Sungai Besi, antara jam 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, pada 21 Mei 2017, dan dalam Bilik 04-10 antara jam 4.45 pagi hingga 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh tertuduh pada anggota badan Allahyarham Zulfarhan telah menyebabkan kematian mangsa tanpa niat membunuh.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – Bernama