KUCHING, 3 Nov : Terbang ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) petang semalam untuk ‘bertarung’ dalam Kejohanan Boling Dunia IBF, Gillian Lim berazam untuk menampilkan aksi terbaiknya.
Membuat penampilan sulung pada kejohanan tertinggi dalam kalender boling dunia, atlet kelahiran Sarawak berusia 22 tahun itu mengakui perasaan gementar untuk bersaing dengan barisan pemain boling terbaik dunia itu mulai terbit namun dia berazam untuk melakukan kejutan.
Ujarnya, walaupun tanpa sebarang pertandingan kompetitif selama hampir dua tahun lalu, skuad negara bersedia untuk menggegarkan Pusat Boling Antarabangsa Dubai bagi merebut pingat yang dipertandingkan.
” Sebelum ini saya dan pasukan berlatih lima hari seminggu namun disebabkan Kejohanan Dunia, kami menambah hari latihan dan hanya berehat sehari pada setiap minggu,”katanya kepada TVS.
Menurutnya, tempoh latihan terpaksa ditingkatkan memandangkan pasukan negara ‘berehat’ selama hampir empat bulan susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mengulas mengenai peluang skuad negara, Gillian yang juga pelajar jurusan komunikasi di Kolej Sunway berkata, Malaysia merupakan negara yang sering mencatatkan keputusan cemerlang dalam acara berpasukan apabila pernah meraih gelaran juara dunia sebanyak tiga kali iaitu pada 2003, 2007 dan 2017.
“Oleh itu saya dan rakan sepasukan sangat berharap agar dapat melakukan yang terbaik untuk acara ini dengan memenangi pingat,” katanya.
Walaupun masih ‘hijau’ dalam pasukan kebangsaan, Gillian yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph Miri ini telah membuktikan keupayaannya apabila meraih pingat gangsa acara berpasukan pada Kejohanan Remaja Dunia di Michigan, Amerika Syarikat selain meraih dua pingat emas pada Kejohanan Remaja Asia di Kuching pada 2019.
Mengulas lanjut, Gillian berkata, kejayaan yang dicatatkan oleh beberapa wakil negara sebelum ini telah memberi semangat kepadanya untuk cuba melakar kejutan.
Pada 2011, atlet boling Sarawak, Jacqueline Sijore yang membuat penampilan sulung pada kejohanan berkenaan turut mencipta kejutan apabila meraih pingat emas acara perseorangan sekaligus bergelar juara dunia pada usia 19 tahun.
Selain Gillian, skuad negara turut dibarisi seorang lagi pemain kelahiran Sarawak, Nerosha Keligit, serta bekas juara dunia, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Roslan, Nur Syazwani Sahar, Nora Lyna Natasia dan Faten Najihah.
Skuad lelaki pula dibarisi Rafiq Ismail, Timmy Tan, Syafiq Ridhwan Abdul Malik, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan tiga muka baharu, Hafiz Zainuddin, Syazirol Shamsuddin dan Nevern Netaneel.
Pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat, pasukan wanita negara menampilkan aksi cemerlang dengan membawa pulang satu emas, dua perak dan satu gangsa manakala pasukan lelaki membawa pulang dua emas ketika kejohanan edisi 2018 di Hong Kong. -TVS