Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Bajet 2022 utamakan kebajikan rakyat – Ismail Sabri

ByBernama

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas mengutamakan kebajikan rakyat yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan kerajaan membentangkan bajet berjumlah RM332.1 bilion itu diambil selepas mengambil kira semua keadaan termasuk kedudukan kewangan negara.

“Saya telah beritahu sewaktu pra-bajet bahawa bajet ini mengambil kira semua, dan kebajikan rakyat adalah amat penting. Rakyat telah susah selama setahun dua ini akibat pandemik, ada yang kehabisan wang simpanan.

“Oleh itu, kita beri bantuan tunai kepada rakyat untuk bantu mereka teruskan kehidupan. Bantuan turut diberikan kepada syarikat-syarikat mikro yang terjejas teruk kerana tidak boleh menjalankan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Bukit Jalil, di sini.

Ismail Sabri mengaku Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas akan menelan belanja yang besar.

“Memang benar kita berbelanja besar, kerana kita perlu jaga kebajikan rakyat. Saya yakin Kementerian Kewangan akan menguruskan perbelanjaan ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dalam Dewan Rakyat bahawa Bajet 2022 terlalu besar dan memberi kesan buruk kepada kewangan negara.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menafikan Bajet 2022 bersifat perkauman seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin.

Ismail Sabri berkata dalam bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, terdapat peruntukan yang disalurkan kepada masyarakat Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak.

“Saya rasa dia tidak faham. Mungkin dia tidak baca bajet berkenaan. Apa-apa pun, Menteri Kewangan akan jawab dengan lebih lanjut dalam Dewan Rakyat nanti,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain. – Bernama

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan