KUCHING, 31 Okt: Tanggal 3 November 2021 merupakan upacara penghormatan terakhir mendiang Tan Sri James Jemut Masing.
Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Ir Janang Bunsu berkata upacara berkenaan akan diadakan di Association of Churches in Sarawak, Jalan Stampin selama satu jam bermula 8.30 pagi untuk orang kenamaan dan seterusnya sesi untuk orang awam bermula 9.30 pagi sehingga 2 petang.
“Orang ramai turut dinasihatkan untuk berpakaian kemas dan melakukan ujian pantas antigen COVID-19 (RTK) sebelum menghadiri upacara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Jenazah Timbalan Ketua Menteri itu akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Kuching sejurus selesai upacara berkenaan.
Tan Sri James Jemut Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.05 pagi tadi di Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya akibat komplikasi jantung.
Keputusan ujian COVID-19 terakhir mendiang adalah negatif.
Mendiang meninggalkan isteri, Puan Sri Dato Corrine Masing serta empat orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. – TVS