GEORGE TOWN, 31 Okt: Tindakan sebuah pusat hiburan di sini yang menyalahgunakan lesen restoran dengan menjalankan kegiatan hiburan mengundang padah apabila premis tersebut diserbu pihak polis, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata serbuan pada pukul 11 malam itu hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak beberapa hari lepas.
“Semasa serbuan, premis tersebut sedang memainkan muzik dengan kuat dan tiada sebarang penjarakan sosial dalam kalangan pengunjung.
“Pemeriksaan polis mendapati pusat hiburan itu beroperasi menggunakan lesen restoran bagi menjalankan perniagaan makanan, tetapi kemudian menukar aktiviti dengan menjadikan ia seperti pusat hiburan, iaitu dua jam sebelum premis ditutup pada pukul 12.00 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rahimi berkata 19 warga asing masing-masing 15 lelaki pengunjung pusat hiburan dan empat wanita yang bertugas sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.
Katanya polis turut mengeluarkan kompaun atas kesalahan ingkar terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada 39 pengunjung warga tempatan yang berhibur di situ, serta menahan seorang lelaki penjaga pusat hiburan tersebut kerana mengaji pekerja asing tanpa permit yang sah, selain dia turut dikenakan kompaun.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut,” katanya.
— BERNAMA