Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

James Jemut pemimpin yang menyatukan rakyat Sarawak – Alexander Nanta Linggi

ByFirdaus Ismail

KUCHING, 31 Okt : Berita kematian Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat Sarawak.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana mendiang telah memberi sumbangan penting kepada pembangunan negeri ini selain dikenali sebagai pemimpin yang telah menyatukan rakyat Sarawak.

Sambil menzahirkan ucapan takziah, Alexander Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan berkata, beliau secara peribadi amat terasa kehilangan sahabat yang telah lama dikenalinya itu kerana mereka berdua berasal dari Kapit.

” Beliau akan dirindui oleh kita semua dan pastinya telah menjadi inspirasi di kalangan kaum Dayak. Saya menganggapnya sebagai mentor dalam bidang politik walaupun kami berjuang menerusi parti yang berbeza,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

James Jemut yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh dilaporkan meninggal dunia pagi tadi akibat komplikasi selepas positif COVID-19.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.05 pagi di Normah Sarawak Medical Centre, Kuching.

Mengenang detik bersama mendiang, Alexander Nanta berkata, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu sering menghubunginya dan sekiranya mempunyai masa terluang, mereka akan bersarapan bersama -sama dan banyak membincangkan soal Kapit dan negeri ini.

” Saya pastinya terasa kehilangnya dan ingin mengambil peluang ini mengucapkan takziah kepada keluarga Mendiang. Terima kasih atas segala jasa dan sumbangannya selama ini,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan