Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Bekas Menteri PH umum keluar Warisan, nafi ‘dibeli’

Oleh Syah Hairizal Kamalul Arifin

KOTA KINABALU, 30 Okt : Bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya era Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini dan menjadi wakil rakyat bebas.

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau melihat tiada pembangunan dan kemajuan dapat disalurkan di kawasannya sepanjang berada dalam kem pembangkang.

Ujar Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama , perkara berkenaan sudah berlarutan sejak setahun lalu di Lahad Datu malahan DUN Segama turut menerima nasib sama.

” Malahan untuk membina tandas awam juga tidak mampu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata, sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 tahun lalu, beliau telah berjanji kepada pengundi Segama untuk membawa banyak kemajuan dan pembangunan di kawasan itu termasuklah mahu membina sebuah Pejabat Daerah Kecil Segama.

“Sekiranya berterusan berada dalam kelompok pembangkang, saya yakin kemajuan serta pembangunan di DUN Segama akan terus terabai dan tidak akan maju,” katanya,

Selaku wakil rakyat bebas, Mohamaddin berkata, kini beliau mempunyai hak untuk menyokong usaha kerajaan negeri yang bertunjangkan kebajikan rakyat manakala untuk peringkat Persekutuan, beliau memilih untuk kekal bebas tanpa menyokong mana-mana pihak.

” Bagaimanapun, saya sangat berbesar hati untuk mengundi dan menyokong usaha Kerajaan Persekutuan sekiranya undi yang ada pada saya boleh membantu membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menafikan ‘dibeli’ supaya keluar Warisan.

” Pengumuman yang saya buat hari ini adalah semata-mata demi untuk memastikan kemajuan dibangunkan di DUN Segama dan tiada kaitan dengan beli wakil rakyat,” tegasnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan