KUCHING, 30 OKTOBER : Bajet 2022 diharap menjadi satu strategi pemulihan ekonomi pasca COVID-19 dan beralih kepada fasa endemik di Sarawak, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, peruntukkan sejumlah RM 4.6 bilion di bawah Bajet 2022 dan RM 7.5 bilion di bawah Belanjawan Sarawak 2022 akan bertambah kali ganda atau ‘fiscal multiplier’ sebanyak 2.5 kali.
“Keseluruhan peruntukkan kali ini adalah sebanyak RM11 bilion dan apabila melalui ‘multiplier effect’ akan bertambah sebanyak RM22 bilion.
“Ini bermakna ekonomi di Sarawak akan bertambah pesat,” jelas beliau ketika ditemui pemberita TVS di Family Cafe, Kuching pada Sabtu.
Menurutnya, apabila ekonomi berkembang pesat, ini akan memberi impak positif kepada pata peniaga, kontraktor, pembekal, ‘supply chain’ dan sebagainya.
Abang Johari yakin dalam jangkaan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) akan meningkat sebanyak 4 sehingga 6 peratus pada peringkat negeri.
“Manakala jangkaan pada peringkat persekutuan adalah sebanyak 5.5 sehingga 6.5 peratus.
“Sekiranya ini berlaku, KDNK dijangka berkembang sebanyak 6 peratus dan ini akan menjurus kepada Sarawak terus mengorak langkah dalam mengejar aspirasi menjadi negeri paling maju menjelang 2030,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan agar pelaburan langsung asing seperti Taiyo Yuden, Longi, Western Digital dan industri hidrogen yang amat penting untuk memesatkan ekonomi Sarawak tidak diketepikan.
“Dengan ini, saya sangat yakin dengan KDNK kita akan meningkat sebanyak 6 sehingga 8 peratus selepas 2030,” katanya lagi.