KUALA LUMPUR, 29 Okt: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang kanak-kanak perempuan rakyat Indonesia berumur tiga tahun yang merupakan anak angkat pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali,diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, yang mewakili Siti Bainun, 29 tahun, berkata Majistret Norfarahain Roslan memerintahkan kanak-kanak itu ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah di Cheras selama tiga tahun.
Beliau berkata mahkamah membuat keputusan menolak permohonan anak guamnya berdasarkan keterangan Konsulat Indonesia, yang menyatakan mana-mana ibu angkat yang ingin mengangkat anak warga negara itu perlu berumur 30 tahun ke atas dan sudah berkahwin sekurang-kurangnya selama lima tahun.
Mahkamah juga menolak permohonan seorang ibu kandung untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas kanak-kanak yang sama, katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding pendengaran permohonan itu yang bermula pada jam 11.40 pagi dan berakhir lewat 5.00 petang.
Nur A’minahtul Mardiah juga berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Prosiding pada hari ini turut dihadiri Siti Bainun dan lima kanak-kanak terbabit serta ibu kandung mereka.
Ditanya mengenai permohonan Siti Bainun dan empat ibu kandung bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas empat lagi kanak-kanak di bawah jagaan JKM, Nur A’minahtul Mardiah berkata permohonan itu masih belum diputuskan dan pendengaran akan bersambung pada 2 dan 16 November.
Pada 2 Ogos lepas, Siti Bainun dan empat ibu kandung memfailkan permohonan melalui notis secara bersama di Mahkamah Majistret di sini, untuk memohon perintah penjagaan sementara terhadap lima kanak-kanak yang diberikan kepada beberapa rumah jagaan di bawah JKM pada 16 Julai 2021, yang dibatalkan serta-merta di bawah Seksyen 30 (13) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.
Siti Bainun dan empat ibu kandung itu memfailkan permohonan tersebut  dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden. – Bernama