KUCHING, 29 OKT: Satu jawatankuasa akan dibentuk bagi memperkukuh kelangsungan hidup dalam kalangan masyarakat tentang perpaduan dan solidariti bagi melaksanakan agenda perpaduan di negeri Sarawak.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Dato Sri Fatimah Abdullah, Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Peringkat Bahagian ini berperanan mengukuhkan lagi kelangsungan hidup dalam kalangan masyarakat tentang perpaduan dan solidariti.
“Dan sebab itu, jawatankuasa tindakan perpaduan di peringkat bahagian dan negeri kita akan wujudkan supaya program dapat dilaksanakan secara terancang dan secara sedar bukan sahaja diperingkat negeri bahkan di peringkat bahagian.
“Ini untuk memastikan perpaduan antara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum bangsa dan agama ini sentiasa terjalin; kita mesti pastikan wujudnya elemen hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Perpaduan dan Solidariti Keluarga Malaysia Sempena Perayaan Deepavali Bahagian Kuching Tahun 2021, pada Jumaat.
Ketika ditanya mengenai cuti sambutan hari Deepavali, Fatimah berkata keputusan itu bergantung kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Bila kita membuat keputusan kita perlu melihat secara keseluruhan.
“Saya boleh mengajukan permintaan ini. Bagi saya, tiada masalah namun keputusan itu perlu dilihat daripada aspek lain contohnya berapa bilangan cuti umum yang diberikan kepada Sarawak dan sebagainya,” jelasnya.