BAU,29 Okt: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus komited berkhidmat untuk rakyat melalui pelbagai inisiatif dan program demi kesejahteraan mereka dalam memastikan Sarawak kekal di bawah pimpinannya.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak adalah negeri yang paling stabil di Malaysia di bawah pimpinan GPS.
“Kalau kita lihat di negeri-negeri lain, banyak kerajaan yang tidak stabil dan sentiasa bertukar-tukar. Berbeza di Sarawak, kerajaan stabil dan rakyat juga bersatu padu dan bekerejasama.
“Sangat penting untuk rakyat mengekalkan GPS sebagai kerajaan demi kestabilan di samping mengekalkan perpaduan di sini,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Program AgriCOP dan Projek Ternakan Lembu Pedaging di Kampung Merembeh di sini hari ini.
Menurutnya, fokus kerajaan adalah untuk memastikan kehidupan rakyat sejahtera dan taraf sosioekonomi dapat dipertingkatkan lagi.
“Jadi pada pilihan raya akan datang, rakyat tahu apa yang harus dilakukan,” ujarnya lagi.
Beliau turut memuji kewibawaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu, Miro Simuh dalam memimpin rakyat di kawasan itu dan Uggah yakin Miro yang dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah pilihan tepat yang boleh membawa pembangunan ke kawasan ini.