KUCHING, OKTOBER 29: Bajet 2022 diharap dapat merapatkan jurang dalam pelbagai perkara, terutamanya jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar di Sarawak, kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir.
Beliau berpendapat Bajet 2022 juga harus memperuntukkan jumlah yang besar untuk sekolah-sekolah di Sarawak bagi menyediakan infrastruktur yang baik khususnya untuk memperbaiki sekolah daif dan membina sekolah di luar bandar
“Jadi untuk itu, yang paling penting adalah bagaimana belanjawan yang disalurkan kepada Sarawak bukan sahaja dapat perbezaan jurang infrastruktur, tapi juga merapatkan jurang dari segi sosial, bagaimana ekonomi khususnya dari segi kadar kemiskinan itu dapat dikurangkan.
“Yang paling penting adalah Bajet ini dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, pertanian dan sebagainya.
“Usaha yang bersungguh-sungguh harus dilakukan melalui komitmen yang jitu dengan peruntukan yang besar dapat memastikan sarawak bangkit selepas pandemik covid-19 ini dan juga memastikan negeri Sarawak maju menjelang 2030,” kata Dr Jeniri.
Beliau turut berharap supaya belanjawan dapat memfokuskan kepada usaha menambah-baik sektor pelancongan di Sarawak.
Beliau turut berpendapat bahawa sektor pelancongan juga sangat penting dan berharap mendapat perhatian yang wajar dalam meningkatkan kemudahan dari segi pelancongan.
“Namun dari segi meneroka produk-produk baru di Sarawak untuk menarik pelancong dalam dan luar negara. Dengan itu nanti, kemajuan dari segi prasarana untuk sektor pelancongan barulah kita dapat melihat Sarawak yang lebih maju dan meningkatka taraf hidup rakyat,” jelas beliau lagi.