KUCHING, 29 Okt: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berharap Bajet 2022 akan diperuntukkan sesuai dengan kekuatan yang ada pada negeri Sarawak.
Beliau turut berharap akan ada lebih banyak pembangunan infrastruktur yang akan dibina dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
“Saya harap Bajet 2022 akan memberi peruntukan yang baik supaya kerajaan dapat teruskan usaha untuk membangunkan negeri Sarawak sepertimana yang saya pernah sebut dalam Keluarga Malaysia tempoh hari.
“Mungkin pendekatannya sedikit berbeza daripada sebelum ini tetapi kita akan manfaatkan peruntukan yang diberi untuk pembangunan infrastruktur di sekolah-sekolah yang pernah disebut Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di Dewan Masyarakat Kampung Samariang Batu hari ini.
Sebanyak 83 surat hak milik tanah telah diserahkan kepada penerima dalam majlis ringkas itu.
Penyerahan itu merupakan tambahan kepada 566 surat hak milik tanah yang telah diserahkan kepada penduduk kampung pada 6 Ogos 2015.
Jelas Abang Johari, kerajaan akan memberi peruntukan tambahan untuk tujuan pembangunan lebih banyak infrastruktur khususnya di kawasan Gedong, Santubong, Kabong, Simunjan dan Kuching. -TVS