KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) — Industri inap desa menerusi pelaksanaan Program Pengalaman Homestay Malaysia di Sarawak menjana lebih RM1.2 juta pendapatan tahun lepas dengan kehadiran hampir 9,700 pengunjung, menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata sebelum penularan COVID-19, jumlah pendapatan bagi program melibatkan 676 pengusaha inap desa di 50 kampung yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu adalah melebihi RM4 juta.
“Insya-Allah dengan pembukaan aktiviti pelancongan domestik dan kebenaran rentas negeri sekarang, kita berharap pengusaha program homestay ini akan kembali menjana pendapatan yang baik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mengenai pelan MOTAC untuk merangsang pertumbuhan sektor ekopelancongan khususnya di Sarawak ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Selain itu, Nancy berkata sembilan kluster ekopelancongan di Sarawak yang berpotensi dibangunkan telah dikenal pasti antaranya Kluster Satu melibatkan Lundu, Sematan, Telok Melano dan Tanjong Datu serta Kluster Dua melibatkan Bako, Santubong, Kubah, Semenggoh, Bau dan Padawan.
Beliau berkata segmen ekopelancongan merupakan antara fokus utama kementeriannya terutama dalam merancakkan pelancongan domestik selaras dengan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (NEP) (2.0) 2020-2030.
— BERNAMA