Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

UCSI ambil langkah proaktif lahirkan graduan berkemahiran tinggi

ByFebbright James

KUCHING, 27 Okt: Universiti UCSI mengambil langkah yang proaktif untuk memastikan pelajar mereka, khususnya dalam jurusan Hospitaliti dan Pelancongan, dapat merebut peluang pekerjaan, sama ada dalam mahupun luar negara, salah satunya menerusi jalinan kerjasama dengan Round Tower 1886.

Menurut Pro Naib Canselor UCSI Kampus Kuching, Mukvinder Kaur Sandhu, kerjasama ini akan menyediakan pelajar yang memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh industri, terutamanya sektor hospitaliti dan pelancongan.

“Kami tidak hanya memfokuskan kepada pengetahuan dan kemahiran semata-mata, namun kami juga menekankan kemahiran insaniah dan kemahiran komunikasi. Oleh itu, setiap tahun, kami juga menyediakan program latihan yang membolehkan para pelajar keluar untuk merasai sendiri pengalaman berada dalam industri sebenar,” katanya.

Menurutnya, para pelajar akan dihantar ke luar negara untuk mendapatkan pengalaman berbeza supaya mereka berpeluang didedahkan kepada pelbagai kemahiran yang berbeza dari setiap negara.

“Setiap tahun kami akan menghantar mereka untuk menyertai industri berkaitan dan menghantar mereka untuk menyertai pertandingan antarabangsa, penyelidikan, penulisan jurnal dan beberapa program antarabangsa,” ujar Mukvinder.

Menerusi usaha sedemikian, seratus peratus pelajar mereka telah mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian, termasuk mereka yang diambil terus semasa menjalani latihan industri.

Mukvinder juga menegaskan UCSI sentiasa mendapat sokongan daripada kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti dan mampu memenuhi kehendak industri menerusi pelbagai program dan inisiatif.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman dengan The Round Tower di Hotel UCSI.

Melalui kerjasama ini juga, The Round Tower mensasarkan untuk menjadi tempat yang memberikan sokongan, nasihat dan latihan di tapak dari semasa ke semasa untuk pertandingan tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Urusan The Round Tower, Sii Duang Chen, berterima kasih kepada UCSI atas keyakinan mereka terhadap The Round Tower 1886, dan memberi peluang kepada mereka untuk menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Kerjasama ini juga dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui tentang selok-belok Industri ‘Food & beverages’ (F&B) dengan menyediakan tempat untuk latihan industri dan penempatan koperasi dalam tempoh tertentu, iaitu antara 16 hingga 24 minggu.

“Selepas mereka menamatkan latihan nanti, pelajar-pelajar ini akan diberi peluang pekerjaan di The Round Tower 1886, bergantung kepada keperluan dan kekosongan yang ada,” jelas Mukvinder.

Untuk rekod, The Round Tower merupakan salah satu bangunan warisan ikonik Sarawak, yang berusia 135 tahun, dan siap dibina setahun sebelum Raffles Hotel Singapura. – TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan