Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kursi Tok Nan cerminan peribadi Adenan terhadap seni, kesinambungan legasi

KUCHING, 27 Okt : Penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem ataupun Kursi Tok Nan mencerminkan peribadi bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan terhadap seni, budaya dan muzik serta menjadi kesinambungan kepada legasinya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari berkata Allahyarham Tok Nan sangat meminati seni, budaya dan muzik sehingga pernah menubuhkan sebuah kumpulan muzik pada zaman mudanya.

“Allahyarham Tok Nan dan saya berasal dari kampung yang sama dan rumah kami amat dekat.

“Kami berkawan rapat sejak usia muda yang mana saya masih ingat Allahyarham dan abang saya sendiri pernah menubuhkan sebuah kumpulan muzik yang dipanggil ‘Vagabond’.

“Abang saya sebagai pemain gitar irama manakala Allahyarham Tok Nan pula merupakan Elvis Presley Sarawak. Beliau sangat mahir menyanyi lagu-lagu Elvis Presley,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Persidangan Kedua Mengenai Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021 dan Pertukaran Memorandum Perjanjian Antara Kerajaan Sarawak dan Universiti Putra Malaysia bagi Kursi Pehin Sri Adenan Satem ataupun Kursi Tok Nan di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang turut menghadiri majlis berkenaan memberitahu, pelaksanaan Kursi Tok Nan bukan sahaja mampu meneruskan legasi Allahyarham yang memperjuangkan rasa cinta akan negeri Sarawak, malah juga menjadi satu hadiah untuk generasi yang akan datang.

“Kursi Tok Nan ini merupakan penghormatan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu kepada perjuangan Allahyarham Tok Nan sebagai anak Sarawak.

“Sepanjang hayatnya, Tok Nan telah membawa kemajuan kepada masyarakat Sarawak atas nama perpaduan, tanpa mengira bangsa dan agama,” ujarnya.

Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM2.54 juta bagi menubuhkan Kursi Tok Nan bagi memacu usaha penyelidikan dan mempertahankan identiti unik serta kekayaan warisan budaya pribumi Borneo di peringkat antarabangsa.

Penyelidikan etnik di Sarawak khasnya dari aspek budaya, bahasa, pemikiran manusia, adat seni dan warisan tradisional akan diterajui Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.

Kursi Tok Nan akan menjadi hab pengumpulan data warisan budaya dan khazanah pelbagai kumpulan etnik di Sarawak dan Borneo, dilengkapi dengan penyelidikan yang menyeluruh.

Penubuhan Kursi Tok Nan merupakan kerjasama penyelidikan antara UPM dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak yang secara langsung menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam memelihara budaya dan warisan etnik Borneo.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan