Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Bersatu mahu gempur negeri Hang Tuah namun masih ‘buntu’ gelanggang di bumi Rentap

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan antara parti dari Semenanjung Malaysia yang ‘berjaya’ bertapak di bumi Sarawak, sesuatu yang ‘gagal’ dilakukan UMNO biarpun pada ketika parti itu berada di kedudukan terkuatnya dalam landskap politik negara.

Difahamkan, Bersatu kini sedang mencongak peluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang.

Bagaimanapun, ketika ini Bersatu Sarawak seolah – olah menerima tamparan apabila Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan GPS tidak akan memberikan sebarang kerusi miliknya kepada mana -mana pihak.

Dalam lain – lain perkataan, GPS mahu menyampaikan pesanan tersirat berbunyi, ‘maaf , tidak ada kerusi untuk Bersatu’ kerana mereka mahu bertanding di kesemua 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Sejak itu, Bersatu Sarawak dilihat mengambil sikap tunggu dan lihat.

Kehadiran Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd. Radzi Md Jidin ke Sarawak semalam juga tidak menyentuh soal kerusi yang ingin ditandingi sebaliknya beliau ‘berkhidmat penuh’ atas kapasitinya selaku Menteri Kanan Pendidikan.

Mohd. Radzi sibuk dengan beberapa program semalam termasuk menyerahkan komputer riba kepada murid-murid di beberapa sekolah dan mengupas isu guru yang masih enggan divaksin. Itu sahaja.

Berbanding di Sarawak, Bersatu Melaka dilihat lebih vokal dalam soal bertanding di PRN Melaka pada 20 November ini.

Gerak tarian telah dipersembahkan lebih awal, konsep persembahan juga telah dirancang malahan serangan kepada ‘kawan dan lawan’ telah bermula.

Ini dapat difahami apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (BN) yang ketika ini terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan akan bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka sekaligus mengambarkan keyakinan mereka untuk turun ke gelanggang pertandingan.

Lebih ‘berani’ , Ketua Bahagian Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga sempat ‘mengingatkan’ bekas bosnya dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jangan balik awal apabila turun ke Masjid Tanah kelak.

Menurut Mas Ermieyati, beliau ‘bimbang’ sekiranya keputusan PRN Melaka diumumkan membabitkan lima DUN iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Tabong Naning diumumkan, ‘bekas bosnya’ itu mungkin tidak bersemangat untuk bersenam di gymnasium kelak.

” Agak-agak, orang Masjid Tanah bagi berapa? ,” sindir Mas Ermieyati.

Bagaimanapun, situasi di Sarawak boleh dikatakan amat berbeza dengan Melaka atas pelbagai sebab.

Di kalangan parti berasal dari Semenanjung yang telah cuba merebut kerusi DUN Sarawak, data telah membuktikan tidak banyak yang berjaya kerana setakat ini hanya DAP dan PKR sahaja yang berhasil menang beberapa kerusi.

Percubaan Pas selama belasan tahun juga masih belum mampu menembusi tembok ampuh yang dibina parti tempatan di Bumi Kenyalang.

Begitu juga halnya dengan Parti Amanah Negara (PAN) yang membuat penampilan sulung pada PRN Sarawak 2016 namun turut kecundang di kesemua DUN yang ditandingi.

Bertambah celaru, ketika PRN2016, parti Semenanjung yang berada dalam gabungan sama juga dilihat sukar untuk mencapai konsensus sehingga terjadilah pertandingan sesama sendiri di enam kerusi DUN iaitu Batu Kitang, Mulu, Mambong, Simanggah dan Ngemah.

Bagi merungkai pendirian Bersatu Sarawak tentang penyertaan parti itu dalam PRN Sarawak, orang nombor satu Bersatu negeri , Jaziri Alkaf Abdillah Suffian sudah tentu ada idea kerana pastinya beliau sangat faham selok belok politik negeri itu.

Kiriman WhatApps awal kepada beliau dijawab pantas, satu petanda baik bagi penulis sekurang -kurangnya.

” Kamek di Dubai sekarang dalam forum baru mok start. Later boleh? Terima kasih,” balas Jaziri Alkaf.

Beberapa jam menunggu, penulis ‘menghantar’ tiga soalan berkaitan Bersatu Sarawak dan PRN namun sehingga tengah malam tadi dan berlarutan tengah hari ini, YB masih belum memberikan maklum balas.

Di pihak penulis pula, by hook or by crook, rencana ini harus disiapkan kerana dateline tidak menunggu YB mendapat ilham.

Apapun sekiranya beliau terbaca coretan ini dan mahu memberi respon, sudah tentu TVS sangat berbesar hati untuk menyiarkan reaksi beliau.

Menarik juga sekiranya Bersatu turut serta kerana the more the merrier. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan