KUCHING, 27 Okt : Pusat internet desa di Tupong kini telah dipelbagaikan fungsinya bagi menyumbang potensi yang lebih optimum kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman berkata, selain digunakan oleh pelajar untuk mengikut sesi pembelajaran secara dalam talian, kemudahan berkenaan juga telah dimanfaatkan oleh usahawan untuk aktiviti pemasaran dalam talian.
Ujar Fazzruddin, beliau juga telah melakukan penambahbaikan bagi pusat internet di kawasannya dengan menyediakan beberapa kemudahan lain.
” Di pusat internet yang saya bina, kami turut menyediakan komputer riba serta sambungan internet. Pusat berkenaan kini seolah-olah seperti perpustakaan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS menerusi temubual ekslusif selepas menjadi tetamu program Sejahtera Asia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penambaikan kemudahan di pusat internet itu juga adalah kerana pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi sekiranya pelajar – pelajar mengikut sesi pengajian secara dalam talian di rumah masing – masing.
” Pihak saya mahu mewujudkan suasana yang selesa untuk belajar kerana terdapat di kalangan mereka, suasana di rumah tidak begitu sesuai kerana mempunyai adik beradik yang ramai dan masih kecil yang boleh menganggu tumpuan pembelajaran,” katanya. -TVS