KUALA LUMPUR, 23 Okt: Pemain beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengejutkan juara Piala Thomas, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia untuk mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Denmark hari ini.
Dalam saingan hari ini pasangan pilihan ke-26 dunia itu membuat kejutan dengan menewaskan pasangan pilihan ketujuh dengan 21-18, 21-17 dalam masa 34 minit di Odense Sports Park.
Ia merupakan kemenangan pertama pasangan negara dalam empat pertemuan menentang pasangan berkenaan, yang sebelum ini membantu Indonesia merangkul Piala Thomas selepas 19 tahun kemarau, baru-baru ini.
Dalam saingan separuh akhir esok Sze Fei-Nur Izzuddin akan berhadapan dengan pemenang antara beregu Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dan beregu tuan rumah Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Sementara itu cabaran negara dalam acara beregu campuran berakhir apabila pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas kepada pilihan keempat Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun dalam saingan peringkat suku akhir.
Walaupun menang dalam set pertama 21-19, pasangan negara kemudiannya tewas dengan 12-21, 14-21 kepada pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo selepas berentap selama satu jam 32 minit.
— BERNAMA