KUCHING, 23 OKTOBER: Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob masih belum memberi sebarang jawapan khusus sama ada Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan dalam masa terdekat ini untuk memberi laluan kepada Pilihanraya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
Beliau yang sedang dalam lawatan kerja rasminya yang sulung ke Sarawak sebagai Perdana Menteri hanya tersenyum sambil berkata kata putus terletak pada tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
“Belum lagi, jangan mendahului Yang di-Pertuan Agong itu semuanya pembubaran untuk membatalkan darurat.
“Jangan kita mendahului kuasa (Agong), kuasa itu terletak di tangan Agong,” katanya.
Ismail berkata demikian selepas lawatan kerja rasmi ke tapak pembinaan Hospital Petra Jaya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata tersebut bagi menjawab berkaitan dengan PRN Sarawak yang ke-12, sama ada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) ada membentangkan kaedah pelaksaaan PRN dalam masa terdekat.
Sementara itu, kata beliau, Belanjawan yang diumumkan baru-baru ini akan digunakan sebaiknya dalam memastikan peningkatan prasarana sekolah-sekolah daif di seluruh negeri Sarawak, kata Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Namu begitu, beliau tidak mengulas lanjut berkenaan dengan Belanjawan Malaysia 2022 untuk negeri Sarawak.
“InsyaAllah, kalau saya sebut hari ini, orang tidak akan dengar,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja sebentar tadi ke Hospital Petra Jaya untuk melihat sendiri melihat sendiri pembangunan yang sedia ada seperti hospital tersebut yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Tumpuan utama lawatan kerja rasmi saya ke Kuching adalah untuk melihat sendiri pembangunan yang sedia ada,” kata Ismail Sabri.
Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan perkembangan projek di negeri Sarawak Ismail berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan apa yang diperhatikannya walaupun terdapat kelewatan dalam pembinaan projek tersebut.
Menurut Pengarah Pasukan Projek Khas 2 Ir. Jasmi Wahab, Hospital Petra Jaya dibina bertujuan untuk menyediakan prasarana perkhidmatan kesihatan yang kondusif serta sebagai hospital kedua bagi penduduk di Bahagian Kuching termasuk Bau, Lundu dan sekitarnya.
Hospital yang pada mulanya dijangka menelan kos keseluruhan RM495 juta dan mempunyai 300 katil itu dibina pada 30 Mei 2013 dan sepatutnya siap pada 30 Jun 2018.
“Hospital Petrajaya dijangka siap pada Mac 2024,” katanya.