KUALA LUMPUR, 22 Okt: Pasukan Penang FC terus memantau keadaan dua tonggak pertahanannya, Khairu Azrin Khazali dan Rafael Vitor, sambil mencuba pemain lain di posisi tersebut menjelang aksi Piala Malaysia berdepan Sri Pahang FC pada 30 Okt ini.
Ketua jurulatih Tomas Trucha mengesahkan dua pemain itu belum pulih sepenuhnya untuk menjalani latihan penuh bersama rakan sepasukan lain dan buat ketika ini hanya menjalani latihan ringan.
Benteng pertahanan skuad Harimau Kumbang dilihat tempang tanpa kudrat Khairu Azrin, 30, dan pemain import dari Brazil berusia 28 tahun, Vitor, apabila tidak dapat mencatat kemenangan dalam dua aksi pertama Kumpulan A selepas terikat 1-1 menentang Kuala Lumpur dan tewas 1-3 kepada Sarawak United.
Dengan saingan Piala Malaysia yang bakal bersambung selepas berehat sebulan untuk memberi laluan kepada pasukan kebangsaan mengharungi dua aksi persahabatan, Trucha mempunyai pilihan seperti Danial Ashraf, Latiff Suhaimi dan Ryuji Utomo untuk mengisi kekosongan tersebut.
“Memang kita boleh katakan baik Khairu Azrin dan Vitor, kedua-duanya sentiasa dalam kesebelasan utama untuk perlawanan liga musim ini, tetapi sekarang saya masih lagi sedang berusaha untuk mencari pengganti terbaik bagi menggantikan posisi itu sementara menunggu mereka mampu untuk kembali beraksi.