UALA LUMPUR, 22 Okt : Negeri Sembilan FC (NSFC) menarik diri daripada baki saingan Piala Malaysia 2021 selepas barisan pemain dan pegawai pasukan itu dijangkiti COVID-19.
Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh NSFC hari ini, keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan dan kesihatan memandangkan para pemain masih tidak bersedia dari aspek kecergasan fizikal.
” Dukacita dimaklumkan seramai 20 pemain dan empat pegawai NSFC telah sah dijangkiti COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta dipantau selama 10 hari oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata kenyataan itu.
NSFC pada masa sama menjelaskan ujian pengesanan COVID-19 dilakukan secara berterusan bagi kontak rapat para pemain dan pegawai yang terlibat.
Pada masa sama, kelab berkenaan memohon maaf kepada penyokong mereka selain turut membatalkan aksi persahabatan menentang Kuching FC yang sepatutnya berlangsung pada Rabu lepas.
Sementara itu, kapten skuad Hobin Jang Hobin, Zaquan Adha Abdul Razak menerusi hantaran di Instagramnya berkata, dia dan rakan sepasukan akur dengan keputusan berkenaan.
” Mungkin bukan rezeki kita dalam saingan Piala Malaysia.InsyaAllah mungkin tahun depan, ada hikmah di sebalik yang terjadi,” tulisnya.
NSFC , juara Liga Perdana tahun ini beraksi dalam kumpulan C Piala Malaysia bersama Melaka United FC, Kedah Darul Aman FC dan Kelantan United FC ketika ini menduduki tempat ketiga hasil satu kemenangan dan satu kekalahan. -TVS.