JOHOR BAHRU, 22 Okt: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut, manakala ibunya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah lori di Kilometer Empat, Jalan Mawai-Kuala Sedili dekat Kota Tinggi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kejadian berlaku semasa wanita berusia 21 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda bersama anaknya itu dalam perjalanan dari Kuala Sedili ke Mawai, apabila dilanggar daripada arah belakang oleh sebuah lori jenis Nissan, dipandu lelaki berusia 21 tahun pada pukul 11.55 pagi.
“Akibat pelanggaran itu, wanita terbabit cedera parah manakala anaknya pula meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata wanita itu dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan manakala pemandu lori itu dan seorang kelindan lelaki, 25, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Hussin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA