Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kerajaan perkasa pembangunan teknologi EV melalui NESTI – Adham

ByBernama

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Kerajaan telah mengambil langkah awal ke arah memperkasa pembangunan, validasi dan pengkomersialan pembangunan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan menerusi Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini berkata aspek itu dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan penjanaan pekerjaan selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Program ini menekankan pembangunan dan pengkomersialan sistem simpanan tenaga bagi kegunaan mobiliti elektrik termasuk bateri, ultra kapasitor, penyimpanan hidrogen dan reaktor, sistem pengurusan tenaga dan kitar semula bateri,” katanya menambah program yang dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata bagi memperkasa teknologi EV, kementerian itu menggunakan pendekatan ‘whole of nation’ bagi meningkatkan penerimaan terhadap teknologi itu, seterusnya mencapai hasrat meletakkan negara sebagai pengeksport komponen EV tersohor di rantau ASEAN.

Sehubungan itu, MOSTI memaklumkan program Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE) oleh NanoMalaysia telah menerima Dana Penyelidikan Strategik di bawah Malaysia Grand Challenge.

Antara lain program itu bertujuan menambah baik blok pembangunan teknologi EV melalui Program Pengkomersialan Teknologi Nano dalam usaha meningkatkan sistem simpanan dan pengurusan tenaga, Internet of NanoThings dan pembangunan stesen pengecas serta membangunkan prototaip EV.

Selain itu satu inisiatif sampingan EMERGE iaitu Rapid Electric Vehicles Innovation Validation Ecosystem (REVIVE) juga telah diwujudkan untuk memberi fokus kepada penukaran enjin biasa kepada enjin elektrik.

“MOSTI yakin penerimaan awam terhadap kenderaan EV akan meningkat dalam jangka pendek memandangkan kenderaan EV jimat tenaga dan hanya memerlukan infrastruktur pengisian yang sederhana melibatkan sistem pertukaran bateri.

“Teknologi EV juga mempunyai potensi yang besar untuk perkhidmatan pengangkutan awam dan penghantaran menjelang 2030,” katanya.

Aspirasi memperkasa industri kenderaan elektrik negara ini adalah berdasarkan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE 10-10) iaitu inisiatif yang menyokong Dasar Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.

Perkara itu turut mengambil kira fokus yang terkandung dalam Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, Dasar Pengangkutan Negara (NTP) 2019-2030 dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan