Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Beri maklumat palsu guna alamat Istana, dua peniaga dihadap ke mahkamah

IPOH, 21 Okt — Dua peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi maklumat palsu di kad pengenalan diri dengan menggunakan alamat kediaman diraja Istana Kinta, enam tahun lalu. 

  Mohamad Halmi Waramejini, 55, dan Affendy Abdul Aziz, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani. 

  Mohamad Halmi dan Affendy didakwa memberi maklumat palsu dalam butir material kad pengenalan bahawa alamat penuh tempat kediaman tertuduh dalam Malaysia adalah kediaman diraja Istana Kinta di Ipoh yang tertuduh ketahui bahawa maklumat tersebut adalah palsu. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh dan tempat yang sama di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara UTC Perak di Aras 4, Pasar Besar Ipoh Jalan Dato’ Onn Jaafar Ipoh di dalam daerah Kinta pada 26 Okt 2015. 

  Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Subperaturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sally Chay manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.

Sally menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius. 

Bagaimanapun, Mohamad Salihen memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan pendapatan kedua-duanya terjejas disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mempunyai tanggungan keluarga. 

Mohamad Halmi yang menetap di Johor Bahru, Johor menanggung isteri dan dua orang anak manakala Affendy yang tinggal di Subang Jaya, Selangor perlu menyara isteri dan 10 orang anak. 

Mahkamah membenarkan masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan, perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan menetapkan 8 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. 

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan