Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Jadikan Pantai Trombol destinasi wajib dilawati di Sarawak

ByKhairil Zharif Affindie

KUCHING, 20 Okt : Pantai Trombol mampu dijadikan tarikan terbaharu serta wajib dilawati pelancong di Sarawak sekiranya ia mempunyai kemudahan asas yang mencukupi.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata selepas COVID-19 beransur pulih, pantai tersebut dijangka akan menjadi tumpuan ramai sekali lagi.

Sehubungan itu, menurutnya, kementerian pelancongan peringkat persekutuan dan negeri perlu bekerjasama bagi mempromosikan dan menaik taraf prasarana di pantai tersebut.

“Pantai ini memerlukan kemudahan seperti tempat rehat, tempat beriadah dan ruang untuk bersukan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi Pantai Trombol yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Kuching pada hari ini.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang, dan Penghulu Telaga Air, Murshidi Johari, turut menyertai lawatan tersebut.

Dr Abdul Rahman, yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), menjelaskan pantai itu mula menjadi tumpuan ramai di sini untuk berkelah dan beriadah sejak empat bulan lepas apabila keindahannya tular di media sosial.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Trombol yang berusaha membangunkan laluan dan mewujudkan ruang untuk berniaga di pantai tersebut.

Dr Abdul Rahman turut menasihatkan orang ramai yang mengunjungi pantai itu agar sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan di sana.

“Kalau boleh bawa balik sampah dan jangan dibuang sembarangan kerana ia boleh mencacatkan kebersihan dan pemandangan yang indah di pantai ini, dan jagalah keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut,” ujarnya. – TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan