Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dr Suhaini Kadiman Tokoh Perdana Maulidur Rasul 1443H/2021M

ByBernama

KUALA LUMPUR, 20 Okt : Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M kepada Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Datuk Dr Suhaini Kadiman.

Penganugerahan itu disampaikan kepada beliau yang juga Ketua Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara (IJN) di Istana Negara pada hari ini.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Dr Suhaini, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, berkata sebagai profesional perubatan, hasrat beliau adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Walaupun cabaran COVID-19 sejak kebelakangan ini begitu menguji kesabaran dan kesungguhan kami sebagai petugas barisan hadapan, namun dengan sokongan masyarakat dan semua pihak, kita dapat atasi cabaran ini,” katanya yang sudah berkhidmat selama 21 tahun di IJN.

Bagi PAPISMA pula, Dr Suhaini, 52 tahun, berkata selain menggerakkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pertubuhan itu juga membantu Keluarga Malaysia dari sudut psikososial serta kesihatan mental dalam fasa pemulihan negara.

Selain Dr Suhaini, enam individu lain turut dikurniakan Anugerah Maulidur Rasul, antaranya bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Datin Dr Paizah Ismail.

Turut menerima anugerah itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Syeikh Zakaria Othman, dan Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH Sarawak, Alwi Morshidi. 

Penerima Anugerah Maulidur Rasul lain adalah Pengasas Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan, Pengasas dan Pengarah Pertubuhan Kebajikan Pondok Spiritual OKU Muslim (PONDOKU), Mohd Zaini Mat Abas, serta bekas penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Tawau Sabah, Mohd Amin Nasir.

Turut hadir pada majlis penganugerahan itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. – Bernama

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan