BATU PAHAT, 20 Okt — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan ‘togok’ atau platform perangkap ikan, bagi menyeludup keluar dadah ke Indonesia di perairan Muar, awal pagi semalam.
Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata pihaknya turut merampas 23 kilogram (kg) syabu, 2,000 biji pil ekstasi dan 90 biji pil Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM1.33 juta.
Beliau berkata operasi yang dilakukan adalah melalui hasil maklumat, risikan serta intipan berterusan terhadap aktiviti penyeludupan dadah oleh Zon Maritim Batu Pahat di sekitar perairan Johor Barat.
“Rondaan yang dilakukan oleh bot Petir 85 semalam telah mengesan satu objek mencurigakan dalam bentuk bungkusan plastik berwarna hitam di atas platform ‘togok’ berkenaan.
“Tujuan mereka meletakkan dadah di togok terbabit, yang terletak lebih kurang tiga batu nautika barat daya Parit Jawa, Muar dan 12 batu nautika dari sempadan negara adalah untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Zon Maritim Batu Pahat di sini, hari ini.
Nurul Hizam berkata hasil pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan plastik itu mendapati 23 bungkusan teh Cina berwarna hijau yang di dalamnya terdapat dadah jenis syabu, satu bungkusan putih mengandungi dua peket kecil pil merah jambu (ekstasi) dan sembilan papan pil Erimin 5.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat, katanya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak APMM percaya meninggalkan dadah di togok sebelum diambil oleh pihak seterusnya untuk penghantaran ke destinasi, merupakan antara taktik baharu pihak sindiket,” katanya.
Sepanjang tahun ini hingga semalam, APMM telah berjaya mematahkan tujuh cubaan untuk menyeludup dadah ke negara jiran dengan jumlah rampasan bernilai sekitar RM7.9 juta.
Jumlah rampasan terbabit membabitkan 123.3 kg syabu, 2,000 biji pil ekstasi dan 90 biji pil Erimin 5 dengan tujuh lokasi berbeza iaitu lima di perairan Muar dan Batu Pahat serta dua lagi di perairan Johor Bahru, kata beliau.
— BERNAMA