KUCHING, 18 Okt : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kali ini memilih untuk menganjurkan program Citrawarna yang kini digelar sebagai Citrawarna Keluargaku Malaysia di Sarawak bertempat di Waterfront Hotel, pada pertengahan Disember ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata antara aktiviti kemuncak program tersebut adalah untuk menghimpunkan seramai mungkin pemain alat muzik sape untuk membuat persembahan secara bergandingan buat kali pertamanya di atas pentas sekaligus mensasarkan untuk tersenarai dalam Malaysian Book of Records.
“Kami juga merancang untuk menubuhkan pentas terapung di atas sungai Sarawak.
“Artis-artis terkenal seluruh Malaysia turut dijemput bagi memeriahkan lagi keadaan,” katanya dalam satu sidang media pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Tambahnya, program berkenaan dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelasnya, penganjuran program ini adalah yang kali kedua diadakan di Sarawak.
“Setelah sekian lama program-program kesenian ditundakan di Sarawak, kami ingin merebut peluang ini untuk menganjurkan Citrawarna yang mana ia akan melibatkan penduduk seluruh Malaysia.
“Kita juga ambil serius akan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang mana satu jawatankuasa khas SOP telah pun ditubuhkan melibatkan agensi-agensi kerajaan negeri dan juga dari Putrajaya,” tegasnya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas peluang yang telah diberikan kepada negeri ini untuk kembali menjadi tuan rumah kepada program berskala besar.
“Saya rasa Sarawak sudah berada di peringkat yang amat sesuai sekali untuk memulakan program sebegini yang mana kebanyakan kekangan telahpun dilonggarkan.
“Program Citrawarna bukanlah satu program baharu malah ia dianjurkan sekali setiap dua tahun. Saya jangka untuk Sarawak, ia akan dimulakan dalam minggu kedua bulan Disember ini,” ujarnya.
Pada masa sama, Abdul Karim memaklumkan Citrawarna Keluargaku Malaysia akan menjadi pembuka tirai sekaligus memberi nafas baharu untuk negeri ini bagi mengakhiri tahun 2021 seterusnya memasuki tahun 2022.