Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pengecualian EnterSarawak, satu keputusan tepat

KUCHING, 17 Okt : Kelonggaran kemasukan ke negeri ini dengan mengecualikan EnterSarawak untuk warga Sarawak yang lengkap dos vaksinasi COVID-19 adalah satu keputusan yang tepat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Malah katanya, keputusan terbabit juga adalah selari dengan situasi peralihan ke fasa endemik COVID-19.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak  atas pertimbangan yang telah dibuat berdasarkan permintaan dan rintihan rakyat Sarawak yang ingin pulang ke kampung halaman.

“Saya yakin keputusan yang diambil oleh JPBN Sarawak telahpun diteliti dengan sewajarnya dan juga bersandarkan pandangan pakar kesihatan awam negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap situasi sesetengah rakyat Sarawak yang telah lama terpisah daripada keluarga.

“Diharap dengan pengecualian permohonan EnterSarawak ini, suami isteri dan juga anak-anak dapat bersua semula selepas tempoh getir kita membendung wabak COVID-19,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau menegaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan penuh berdisiplin perlu terus diamalkan meskipun negeri atau negara sudah beralih sepenuhnya ke fasa endemik kelak.

“Saya menyeru semua rakyat Sarawak yang telah pulang ke kampung halaman untuk terus mempraktikkan SOP yang telah disyorkan oleh pihak berwajib untuk memastikan diri, keluarga dan kenalan mereka selamat dari dijangkiti COVID-19,” tegasnya sambil menasihatkan orang ramai yang bergejala sepanjang tempoh berada di Sarawak untuk menjalani saringan sama ada menggunakan kit kendiri ataupun membuat saringan di fasiliti kesihatan terdekat.

Pada masa sama, beliau amat berbangga dengan kecekapan pengurusan JPBN Sarawak yang menyumbang kepada penurunan drastik kes COVID-19 harian di Sarawak daripada lebih 5,000 kes kepada 1,000 kes harian baru-baru ini. – TVS

Tags: #bm, endemik, jpbns

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan