KUCHING: Pembangunan taman awam di Kuching Family Park bakal menjadi mercu tanda baharu di Jalan Sultan Tengah yang merupakan jalan protokol menuju ke Semenanjung Damai.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dengan kos RM418,000, projek itu merangkumi pembangunan pondok kecil, taman permainan, laluan pejalan kaki dan gelanggang sukan.
Menurutnya, projek yang dibina dalam tempoh tiga bulan itu juga akan menjadi tempat riadah untuk penduduk tempatan dan dapat mengerat silaturahim dalam kalangan mereka.
“Taman ini sudah pasti akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan kerana mereka dapat terlibat dalam aktiviti sukan dan riadah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah dan Doa Selamat Kerja-kerja Menaiktaraf Landskap Taman Awam Kuching Family Park hari ini.
Projek landskap tersebut dibangunkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKu) bersama Jabatan Landskap Negara.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, badan bukan kerajaan (NGO) di taman perumahan tersebut perlu menjaga taman awam itu dengan sebaik mungkin.
“Kita perlu mengelak aktiviti salah laku kerana taman ini amat menarik dan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Abdul Rahman turut menggesa Kejiranan Mesra (KJM) yang terdapat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengadakan program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
“DBKU mempunyai banyak program dan kita perlu sentiasa merebut peluang,” jelasnya.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara Datu Junaidi Reduan.