KUCHING, 16 Okt : Sebuah pusat operasi melombong ‘Bitcoin’ di Muara Tabuan yang beroperasi secara haram berjaya ditumpaskan namun pemiliknya dipercayai masih diburu pihak polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah, pusat tersebut telah beroperasi sejak Februari lepas di sebuah rumah kedai.
Jelasnya, Sarawak Energy Berhad (SEB) telah berjaya membongkar kegiatan haram tersebut setelah mengesan kejadian mencuri bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
“Susulan itu, satu serbuan dilakukan sekitar jam 10 pagi (semalam) dan hasil siasatan mendapati premis tersebut telah beroperasi selama lapan bulan dengan jumlah kasar keuntungan sekitar RM23,000 sebulan,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Sabtu.
Tambahnya, pasukan serbuan turut menahan dua suspek warga tempatan berusia 24 dan 44 tahun disyaki penjaga premis tersebut.
Pihak polis juga masih dalam usaha mengesan pemilik sebenar premis yang kini masih bebas.
Selain itu, pasukan serbuan turut merampas peralatan-peralatan yang digunakan untuk kegiatan melombong bitcoin membabitkan komputer, 90 unit mesin bitcoin, router dan modem.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik Sarawak.
Kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika disabitkan kesalahan.