KUCHING, 16 OKT: Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi yakin perbincangan mengenai Pilihanraya Negeri (PRN-12) Sarawak yang telah dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayattudin Al-Mustaffa Billah Shah oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kini hanya menunggu keputusan untuk diperkenankan.
“Barangkali saya kira Ketua Menteri sudah bersetuju dan Tuan Yang Terutama juga bersetuju.
“Kini hanya menunggu keputusan Yang Dipertuan Agong untuk memuktamadkan cadangan tersebut kerana baginda memerlukan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk pihak keselamatan, kesihatan, SPR dan beberapa perkara lain,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Dalam pada itu, menurut Dr Awang Azman, sekiranya PRN-12 perlu diadakan ketika ini Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan perlu diperhalusi terutama yang melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat.
Jelas beliau, jika dilihat dari segi konteks rakyat, apa yang dibimbangi adalah situasi yang pernah berlaku ketika PRN diadakan di Sabah sebelum ini.
“Saya kira memang rakyat akan berasa sedikit terkejut sekiranya darurat ditamatkan lebih awal dan PRN diadakan lebih awal.
“Tetapi fasa wabak COVID-19 di negara kita kini berada dalam keadaan yang terkawal kerana sektor-sektor sudah banyak dibuka.
“Apa yang perlu ditangani adalah bagaimana untuk meyakinkan rakyat dengan SOP pada PRN itu nanti.
“Ini bagi memastikan ia betul-betul selamat untuk rakyat dan ia memberi kestabilan politik dan mandat baharu kepada rakyat,” katanya lagi.